Anwar enggan polemik permusuhan dengan Tun M berterusan

 


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu lagi polemik 'permusuhan' atau 'hubungan pasang surut' antara beliau dengan Tun Dr Mahathir Mohamad berterusan, sebaliknya menegaskan semua pihak perlu menerima hakikat bahawa rakyat sudah memberi mandat kepadanya untuk menerajui kerajaan.

Tanpa menyatakan secara khusus mengenai status hubungannya dengan Dr Mahathir, Anwar berkata, tumpuan beliau ketika ini ialah melaksanakan tugasnya sebagai Perdana Menteri dan enggan melayani 'kerenah' atau 'celoteh' yang tidak relevan daripada negarawan itu.

"Belum ada apa-apa hubungan (situasi terkini) antara saya dengan beliau... saya pun hanya tumpu kepada kerja saya (sebagai Perdana Menteri) dan saya tidak sangat melayani kerenah atau celoteh beliau yang saya fikir tak begitu relevan.

"Rakyat sudah memilih dan kita diberi mandat untuk menjalankan kerja, saya tumpukan ke arah itu... tapi saya juga tidak mahu ini dianggap permusuhan (dengan Dr Mahathir) berterusan... tidak perlulah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu rancangan temu bual televisyen Indonesia, Nation Hub: Special Interview Bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan saluran CNBC Indonesia TV, semalam.

Anwar menjawab persoalan mengenai hubungannya dengan Perdana Menteri keempat dan ketujuh itu yang sering menjadi tumpuan serta polemik pelbagai pihak, khususnya selepas Ahli Parlimen Tambun itu mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lalu.

Temu bual khas itu dirakam ketika lawatan rasmi Anwar ke Indonesia selama dua hari pada 8 dan 9 Januari lalu.

Ditanya mengenai suasana politik Malaysia pula, Anwar mengakui keadaan politik di negara ini berbeza dengan Indonesia dan beberapa negara lain, kerana permusuhan politik Malaysia disifatkannya sebagai 'terlalu tajam' yang mungkin disebabkan warisan cara kepimpinan Dr Mahathir.

"Siapa yang tidak mendukungnya (Dr Mahathir) dianggap musuh... dan situasi ini (permusuhan politik yang tajam) berkembang hingga kini. Tapi sekurang-kurangnya kita (Kerajaan Perpaduan) cepat bertindak (ubah kepada cara baharu) dengan memikirkan soal negara, masa depan dan kestabilan politik sehingga berjaya membentuk 'pergabungan' dengan pendirian tatakelola baik serta menolak korupsi, dan prinsip ini telah disepakati.

"Saya berharap pembangkang kita (di Malaysia) juga tidak terlalu mempertajamkan (permusuhan), dan saya juga minta mereka hindari daripada mengeluarkan kenyataan yang menghukum dan mengkafirkan orang... jika ini dapat diringankan, kita boleh berdialog dengan lebih baik," katanya.

Dalam soal kritikan rakyat terhadap kerajaan, khususnya oleh golongan muda, Anwar berkata, rakyat tidak boleh dipersalahkan.

Sebaliknya, beliau berkata, ia adalah cabaran kepada kerajaan kerana rakyat sentiasa menilai prestasi Kabinet pimpinannya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menegaskan, 'ketajaman politik' sehingga mengkafirkan orang lain harus dibendung, malah jika terdapat anak muda yang cenderung dengan ekstremisme, ia juga perlu dibendung dengan sifat kasih sayang.

"Misalnya, saya melihat nada anak muda juga pada masa sekarang dengan bulan lalu, sangat berbeza… ertinya, mereka mengamalkan sikap terbuka serta tidak terkongkong dengan pemikiran yang jumud atau konservatif, dan mereka juga menilai kita," katanya. – BERNAMA

Kongsikan kepada keluarga dan rakan anda

Comments